Wau Bulan  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Wau Bulan merupakan wau rasmi kebangsaan. Ianya mendapat nama bersempena dari rekabentuk ekornya yang berbentuk seperti bulan sabit. Sebelum dijadikan wau rasmi kebangsaan, Wau Bulan lebih dikenali dan dimainkan di negeri Kelantan.

Sejarah kewujudan Wau Bulan dikatakan bermula sejak empayar Sriwijaya yang mana telah disebutkan dalam satu kisah penaklukan oleh pemerintah kerajaan tersebut iaitu Dewa Muda. Sebelum beliau pergi berperang bagi meluaskan jajahan takluk kerajaannya, beliau terlebih dahulu melakukan pertapaan bagi mendapatkan alamat daerah yang sesuai untuk ditaklukinya. Setelah selesai melakukan pertapaan di dalam sebuah gua, beliau telah keluar dengan membawa sesuatu yang menyerupai rangka wau bulan yang dipercayai sebagai bentuk simbolik kepada peta wilayah jajahannya. Apabila pulang daripada berperang, Dewa Muda akan memainkan Wau Bulan untuk dipertontonkan kepada rakyat jelata dan dibahagian dada Wau tersebut juga corak berbentuk kuntuman bunga. Setiap kali selesai berperang, biasanya kuntuman bunga tersebut akan bertambah menambahkan jumlah wilayah baru yang berjaya ditakluki oleh Dewa Muda dan bala tenteranya. Kewujudan Wau Bulan ini juga dikaitkan dengan beberapa lagi mitos seperti peristiwa Dewa Muda naik ke kayangan dengan menggunakan Wau Bulan Emas dan juga rekabentuk Wau Bulan yang asal dikatakan merujuk kepada bahagian anggota badan manusia di zaman dahulu yang mana bahagian kepala dan tengkuk mewakili bahagian atas wau, dada dan pinggang pula mewakili bahagian bawah wau.

Wau Bulan yang dimainkan pada hari ini telah mengalami perubahan berbanding dengan rekabentuk Wau Bulan yang asal iaitu agak lonjong sedikit di bahagian sayap dan ekor berbanding dengan yang asal iaitu berbentuk agak bulat. Busur yang dipasang pada bahagian kepala wau ini akan mengeluarkan bunyi yang agak garau apabila diterbangkan ke udara. Pembuat-pembuat wau tradisi sentiasa melakukan sesuatu untuk menjadikan wau ini kelihatan lebih menarik. Dibahagian permukaannya telah dihias dengan corak daun dan bunga-bungaan yang disobek dan ditampal dengan pelbagai kertas warna yang menarik. Dibahagian tengah kiri dan kanan sayap wau ini terdapat ruangan kosong yang dikenali sebagai kijang emas, kijang kencana.

Sumber : Bahagian Pemuliharaan, Kraftangan Malaysia

Artikel ini telah ditulis pada hari Khamis , Khamis, Disember 27, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan