Kaca dan kristal asasnya dihasilkan daripada bahan mentah yang sama iaitu silika. Bagi menghasilkan kristal, silika diproses menjadi bahan yang berkualiti tinggi, lebih lembut dan lebih tahan terhadap perubahan suhu yang tinggi. Ini menunjukkan bahawa kristal sebenarnya adalah kaca yang berkualiti tinggi. Kerja penghasilan barangan kristal agak rumit kerana ia memerlukan ketelitian, kecekapan, kemahiran dan yang paling penting aspek keselamatan. Ini adalah kerana ia melibatkan api panas yang mencecah suhu 1,400°Celcius manakala untuk membuat produk akhir kristal, suhu yang diperlukan adalah sehingga 1,100° Celcius. Tambahan pula, bagi menghasilkan produk kristal yang besar, seseorang tukang itu perlu meniup kaca bagi membentuk kaca menjadi kristal yang cantik berkilauan dengan menggunakan api yang lebih besar.
Namun, bagi menghasilkan produk kristal yang kecil, api yang digunakan agak sederhana dan bahan kaca tidak perlu ditiup. Proses pembuatan kristal adalah yang paling cepat disiapkan kerana proses pembuatannya adalah berterusan dan tidak boleh ditangguhkan. Produk kristal yang paling singkat disiapkan adalah dalam masa dua minit tetapi yang paling lama boleh memakan masa sehingga dua jam.
Produk kristal yang siap dibentuk akan dimasukkan ke dalam ketuhar untuk penurunan suhu selama dua jam sebelum ia menjadi produk yang siap sepenuhnya. Antara produk kristal tempatan yang biasa dihasilkan ialah barang perhiasan rumah dan pejabat serta kelengkapan hotel seperti pasu, bekas abu rokok, pinggan dan kole, selain sesuai dijadikan barangan cenderamata yang eksklusif.
Sumber : Bahagian Pemuliharaan, Kraftangan Malaysia
Artikel ini telah ditulis pada
hari Rabu
, Rabu, Februari 20, 2013
di bawah kategori
Etnik Kraf
. Anda boleh mengikuti artikel ini melalui
comments feed
.
Catat Ulasan