Sejarah Tembikar  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Sejarah telah membuktikan bahawa seni tembikar ialah hasil pertukangan yang paling awal dikesan dalam perkembangan tamadun manusia. Ia dicipta bagi memenuhi keperluan asas dalam kehidupan harian dan keperluan rohaniah.

Tembikar mula digunakan di negara ini sejak Zaman Neolitik lagi. Ini dibuktikan dengan penemuan di beberapa tempat seperti di Gua Cha (Kelantan), Bukit Tengku Lembu (Perlis), Ulu Tembeling (Pahang) dan Gua Niah (Sarawak). Kegunaan utama tembikar purba ini adalah untuk keperluan seharian seperti memasak dan menyimpan makanan di samping dijadikan bekas untuk mengisi air. Reka corak yang mudah dan ringkas seperti garisan dan lorekan menjadi ragam hias pada permukaan tembikar purba.

Peredaran zaman memperlihatkan perubahan di dalam rupa bentuk, ragam hias serta kegunaan tembikar. Bentuk-bentuk yang lebih sesuai seperti periuk, belanga, alat kukus diperkemas dan diperhalus buatannya. Motif-motif hiasan yang berunsurkan flora dan fauna, tulisan khat, abstrak serta geometri digubah menjadi hiasan menarik pada permukaan tembikar. Perubahan ini menjadikan tembikar bukan sahaja dapat memenuhi keperluan harian tetapi juga sesuai dijadikan sebagai hiasan dalaman untuk ruang rumah, ruang pejabat dan sebagainya.

Penemuan inovasi baru dalam industri tembikar membantu meningkatkan pengeluaran dan seterusnya membangunkan industri tembikar itu sendiri. Namun demikian, pembuatan secara tradisional yang menggunakan tangan terus diusahakan terutamanya oleh pembuat-pembuat tembikar tradisional bagi memenuhi dan memelihara seni tembikar warisan negara.


Sumber : Broshur Kraftangan Malaysia, 2009 ISBN 987-983-9196-60-3

Artikel ini telah ditulis pada hari Rabu , Rabu, April 18, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan