Maksud Tekatan  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Tekatan merupakan satu karya seni tekstil Melayu yang indah.  Seni ini amat popular di Semenanjung terutamanya di Perak.  Dalam seni tekatan, benang emas di sulam timbul di atas kain baldu untuk membentu ragam hias yang cantik.  Setiap sulaman ragam hias akan diisi dengan mempulur untuk menampakkan kesan timbul tekatan tersebut.  Biasanya mempulur diperbuat daripada rotan sega atau kertas keras.

Satu daripada warisan seni tekstil Sarawak yang dikenali sebagai Kain Kelingkam juga dikategorikan sebagai tekatan.  Kelingkam agak berbeza dengan cara sulaman mempulur biasa kerana selain tidak menggunakan mempulur, ia menggunakan teknik jahitan dalam membentuk ragamhias.

Kebanyakan rekacipta seni ragam hias tekatan adalah berdasarkan kepada pengalaman terhadap alam semula jadi.  Oleh itu, ciptaan ragam hias banyak dipengaruhi unsur-unsur seperti tumbuhan, unggas dan geometri.

Seni kraf ini juga dikenali sebagai sulaman timbul atau tekat bersuji.  Antara bahan tradisi Melayu yang dihiasi dengan kraf menawan ini ialah tikar sila, perhiasan katil dan tepak sireh.

Asal-usul tekatan dikatakan berasal dari China, India serta dipengaruhi budaya Arab.  Pengkajian Winstedt menjelaskan bahawa ketika seni tekat belum berkembang ke dalam masyarakat Melayu, Maharaja China telah menghantar hadiah berupa kain baldu, sutera dan kain bersulam emas kepada kesultanan Melaka pada awal abad ke 15.  Pengaruh India dilihat daripada perkataan tekat atau tekatan itu sendiri yang berbau snnskrit, iaitu bahasa purba India.  Budaya Arab pula mempengaruhi seni tekatan Melayu dengan bentuk ragam hias bunga yang merupakan seni eksklusif orang Arab dahulukala.

Di zaman kegemilangan, seni ini dipelopori oleh golongan istana.  Maka tidak hairanlah, seni kraf ini cuma menjadi perhiasan istana dan golongan bangsawan sahaja.  Walaupun kini seni tekatan lebih banyak digunakan dalam perhiasan perkahwinan dan adat istiadat Melayu yang lain, keindahan dan ketinggian seninya mampu diketengahkan sebagai produk komersil.

Artikel ini telah ditulis pada hari Selasa , Selasa, April 17, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan