Telepuk  

Ditulis oleh : Bahagian Pemuliharaan Kategori :

Telepuk ialah suatu karya seni memperhias kain dengan serbuk berwarna emas yang amat unik sekali.  Berdasarkan sastera lama, telepuk bermakna bunga atau lain-lain yang dibuat daripada emas.  Seni ini banyak berkembang di negeri-negeri Pahang dan Johor ketika dahulu, dan biasanya ia menghiasi baju kurung labuh Riau, kain sarung dan kain ikat kepala.

Penghasilan kain telepuk harus melalui proses menenun kain, menggerus, membuat penerap ukiran bunga dan menelepuk.  Kain yang ditelepuk hendaklah daripada jenis halus dan padat tenunannya.  Proses menggerus pula menggunakan siput gerus bertujuan menggilap dan melicinkan kain.  Penerap atau acuan diukir dengan cermat dalam bentuk corak-corak tradisional.

Berbanding seni kraf tekstil lain, proses menelepuk bermula dengan menyapu sejenis gam Arab pada lengan.  Kemudian acuan berukir akan ditekap pada gam di lengan dan dipindahkan ke permukaan kain.  Serbuk emas dalam bentuk perada kemudian ditekap satu persatu di atas kain untuk meninggalkan kesan emas pada corak ragam hias.

Kraf tekstil ini amat unik sehinggakan ragam hias setiap jenis kain juga dibezakan.  Bagi baju kurung, ragam hias berupa bunga pecah lapan membentuk hiasan hati berantai, manakala kain sarung dipenuhi lingkaran dan urutan bunga pecah empat yang berkembang kepada pecah enam dan lapan.  Kain ikat kepala pula lebih berpusat kepada ragam hias bunga cengkih pecah empat bahagian dalam dan kelopak disusun berantai dan mengarah ke dalam.

Kain telepuk amat menarik ketika dipakai kerana serbuk emas akan menampakkan kilauan pancaran cahayanya.

Artikel ini telah ditulis pada hari Selasa , Selasa, April 17, 2012 di bawah kategori . Anda boleh mengikuti artikel ini melalui comments feed .

0 ulasan

Catat Ulasan

Catat Ulasan